skip to Main Content

Pelbagai Kaum Makmur Dipayungi Pemerintahan Baginda Rasulullah ﷺ

Pelbagai Kaum Makmur Dipayungi Pemerintahan Baginda Rasulullah ﷺ

Ketika Rasulullah ﷺ berhijrah ke Madinah, penduduk Madinah terdiri dari pelbagai kaum dan agama. Di antara kelompok minoriti yang begitu berpengaruh pada waktu itu ialah kaum Yahudi yang terdiri dari tiga suku iaitu Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah.

Mereka telah lama menetap di Madinah kerana menunggu kelahiran Nabi Akhir Zaman yang dijanjikan. Di samping itu , penduduk tempatan yang berbangsa arab juga terdiri dari pelbagai puak dan suku. Mereka saling iri hati dan mengangkat senjata antara satu sama lain.

Kehadiran Rasulullahﷺ ke Madinah bukan sekadar sebagai Nabi dan Rasul tetapi juga sebagai Raja Madinah yang menguasainya tanpa perperangan dan pertumpahan darah…Rasulullah ﷺ adalah kecintaan Allah dan Rahmat Nya buat sekelian alam dan nadi ajaran Bagindaﷺ ialah kasih sayang dan cinta. Dengan cinta dan kasih sayang itulah Baginda ﷺmenyatu dan memandu urusan mereka mencapai keredhaan Allah.

Bagindaﷺ begitu menghormati keberadaan kaum non muslim di Madinah dan memperakui hak-hak mereka sebagai warganegara. Sikap Baginda ﷺyang begitu menghormati Hak Bukan Islam dan melayani mereka dengan selayaknya adalah kerana sifat kasih yang ada pada diri Bagindaﷺ. Perbezaan anutan agama tiada menghalang kelayakan mereka diberikan penghormatan sebagai manusia dan diberikan hak-hak yang asasinya.

Lihatlah kisah penghormatan yang diberikan oleh Bagindaﷺkepada jenazah seorang Yahudi, Baginda berdiri menghormatinya ketika rombongannya sedang melintasi Baginda ﷺdan para sahabat. Sehingga ada di kalangan sahabat yang mempersoalkan tindakan Bagindaﷺ itu dengan mengatakan Ya Rasulullah bukankah itu jenazah Yahudi? Lalu Baginda ﷺmenjawab dengan memulangkan kembali pertanyaan itu dengan mengatakan : “bukankah dia juga seorang manusia!”

Bukan itu sahaja bahkan Baginda juga mempunyai seorang khadam berbangsa Yahudi (non muslim) yang berkhidmat untuk Baginda. Pernah suatu hari Rasulullah pergi bertamu ke rumah khadamnya menziarahi beliau yang sedang sakit. Bayangkan Bagindaﷺ seorang Raja mencemar duli menziarahi rakyat biasa yang tidak segama dengan Bagindaﷺ. Akhlak Baginda ﷺini menyebabkan khadam tersebut akhirnya memeluk Islam di hadapan kedua ibu bapanya yang masih belum muslim lagi dengan keizinan dan kerelaan mereka.

Baginda ﷺpernah menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi untuk belanja makanan keluarga Baginda. Kisah ini tiada lain melainkan membuktikan hubungan erat Baginda ﷺdengan kaum non muslim dan kepercayaan mereka kepada Baginda walau berbeza agama dan bangsa.

Oleh kerana hubungan Rasulullah ﷺsebagai Raja dengan rakyat jelatanya yang bukan muslim dibina di atas sifat kasih sayang dan saling hormat menghormati maka kita dapati rakyat Madinah secara umumnya hidup dengan aman dan makmur. Kerukunan hidup di Madinah telah menjadi pemangkin kepada penduduk luar untuk menziarahi Madinah dan melihat sendiri keadaann tersebut.

Secara tidak langsung kewujudan Madinah menjadi negara dakwah sehingga menyebabkan para penziarahnya jatuh hati dengannya lalu memeluk Islam.

Jelaslah kewujudan pelbagai kaum dalam sesebuah negara adalah suatu kekuatan jika dapat diolah dengan baik dan penuh bijaksana oleh pemimpinnya.
(یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرࣲ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبࣰا وَقَبَاۤىِٕلَ لِتَعَارَفُوۤا۟ۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِیمٌ خَبِیرࣱ)
[Surah Al-Hujurat 13]

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
(لَّا یَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِینَ لَمۡ یُقَـٰتِلُوكُمۡ فِی ٱلدِّینِ وَلَمۡ یُخۡرِجُوكُم مِّن دِیَـٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوۤا۟ إِلَیۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِینَ)
[Surah Al-Mumtahana 8]

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Baba Idris Muharram
Mudir Madrasah Syeikhul Arifin ( MASA Melaka)

𝐌𝐀𝐌𝐏𝐈𝐑

#𝗠𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿𝟭𝟱𝟭𝟭
#𝗨𝗹𝗮𝗺𝗮𝗥𝗮𝗷𝗮𝗥𝗮𝗸𝘆𝗮𝘁𝗯𝗲𝗿𝗽𝗶𝘀𝗮𝗵𝘁𝗶𝗮𝗱𝗮
#𝗞𝗲𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗮𝗻𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮𝗥𝗮𝗷𝗮𝗡𝗲𝗴𝗮𝗿𝗮

Ikuti kami di pautan berikut
Back To Top