skip to Main Content

Majlis Penyampaian Sijil Peserta Program Bengkel Bersiri Online Asas-Asas Kenegaraan Malaysia (Khusus Asatizah)

Majlis Penyampaian Sijil Peserta Program Bengkel Bersiri Online Asas-Asas Kenegaraan Malaysia (Khusus Asatizah)

Sollu ‘alan Nabiy

Alhamdulillah, pada hari Ahad 28hb Mac lepas, telah selamat disempurnakan Majlis Penyampaian Sijil bagi peserta dari seluruh negara yang mengikuti Bengkel Bersiri Asas-Asas Kenegaraan Malaysia (BBOAKM) yang berlangsung selama 7 minggu berturut-turut bersama para panelis yang terdiri dari pakar Perlembagaan dan Perundangan negara. Kehadiran peserta adalah secara fizikal dan online.

Bengkel ini dianjurkan oleh Gabungan Mi’Raj, Mampir, Pertubuhan Ilmuwan Ahli Sunnah wal Jamaah (Islami) dan Pertubuhan Nadhatul Ulama Malaysia (Naam). Peserta pusingan (batch) pertama ini terhad kepada 30 orang dari kalangan Agamawan yang dijemput mewakili pertubuhan Islam atau madrasah.

Majlis diserikan dengan kehadiran tetamu khas iaitu YBhg Datuk Prof Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain@ Ibn Wan Husain Wan , yang juga merupakan salah seorang panelis BBOAKM. Tahniah kepada semua peserta yg menjayakan program ini, antaranya adalah Ustaz Yunan Abdul Samad (Islami Pahang), Ustaz Abdul Rahman Tajuddin@ Emang Sarani (Aswaja Sabah), Ustaz Ahmad bin Shadan al Hadhrami (Ittihadunnur), Ustaz Iqbal Zain al Jauhari (al Isyraq Nusantara dan Darul Mujtaba), Maulana Wan Tahir (Pertubuhan al Mazahiri), Ustaz Angah Sunan , Ustaz Aizuddin Hakim, Ustaz Wan Helmi dan ramai lagi.

10 Rumusan Kepentingan Memahami Aas-Asas Kenegaraan Malaysia telah dibacakan dalam majlis ini:

1. Ilmu tentang Asas-asas Kenegaraan yang merangkumi struktur, sistem dan dasar pemerintahan Negara Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mesti diperolehi dari kalangan ahli atau pakar bidang tersebut yang berjiwa Islam dan memiliki fikrah Watan Tanah Melayu (Malaysia) iaitu memahami nuansa sejarah, adat budaya dan sosiopolitik Tanah Melayu.

2. Pentafsiran terhadap Perlembagaan Persekutuan perlu dibuat secara kontinuum (berkesinambungan) dengan Law of the Land (Perundangan Tanahair), menepati syariah (syariah compliance), rasional dan diberi peluang sewajarnya untuk menjalani proses pembuktian di Mahkamah semasa.

3. Memahami Asas Kenegaraan Malaysia adalah merupakan landasan untuk menjalankan usaha atau gerakan dakwah, tarbiyah dan siasah yang menepati tuntutan hikmah atau adil (meletakkan suatu usaha yang kena pada tempat, masa, suasana, kaedah dan sasarannya) dalam konteks Malaysia.

4. Memahami Asas Kenegaraan membantu dalam menggunakan sumber-sumber yang ada dalam Negara termasuk sumber tenaga manusia, kemudahan fasiliti atau infrastruktur, ekonomi dan kekayaan mengikut keutamaan keperluan dan keberkesanan untuk Agama, Rakyat dan Negara. Contoh; Kumpulan-kumpulan rakyat tidak dimanipulasi untuk berikan banyak masa, tenaga dan wang ringgit dalam polemik kepartian bukannya Kenegaraan.

5. Memahami Asas Kenegaraan dapat menyedarkan kalangan Agamawan dan aktivis khususnya, dan masyarakat awam umumnya tentang punca atau kunci untuk membuat perubahan, pemulihan atau penambahbaikan terhadap isu dan permasalahan dalam Negara.
6. Memahami Asas Kenegaraan akan mencetus pemikiran strategik untuk melihat panji, penjuru atau sudut-sudut utama dalam Negara yang perlu dibentengi, dibela dan diperkasa demi Agama, Bangsa dan Tanahair.Contohnya; Institusi Raja-Raja, bidang Perundangan dan seumpamanya.

7. Memahami Hal Ehwal Kenegaraan dapat membuka ruang serta peluang bagi membina perpaduan atau kesatuan umat. Membuka kesedaran untuk mengenepikan kepentingan peribadi, puak atau parti.

8. Memahami Asas dan Hal Ehwal Kenegaraan mampu mengangkat atau menganjakkan pemikiran Agamawan, Ilmuan, aktivis ke tahap yang lebih tinggi dan luas. Mudah untuk menepis atau mengikis hal remeh- temeh, sebaliknya lebih menumpu kepada usaha Pembangunan Tamadun Agama, Bangsa dan Tanahair @ Watan (ABATA).

9. Memahami Asas Kenegaraan adalah termasuk dalam tuntutan untuk berperanan sebagai Khalifah Allah di wilayah ini. Ajaran Islam Ahkussunnah wal Jamaah yang dianugerahkan Allah pada Melayu adalah juga suatu amanah untuk menerajui kepimpinan Negara ini dengan Nilai2 Keindahan dan Kerahmatan Islam yang diwarisi dari Para Kekasih Allah.

10. Memahami Aspek KenegaraanTanah Melayu secara holistik(menyeluruh) akan menyuntik kesedaran akal budi ‘orang Melayu’ ‘untuk membuat persediaan zahir dan bathin, secara peribadi, keluarga, jemaah dan masyarakat untuk bersama kebangkitan Cahaya Allah di Akhir Zaman ini.

Pihak penganjur akan melanjutkan program2 kenegaraan seumpama ini di masa- masa yang akan datang, insya Allah.

Sekretariat BBOAKM



Ikuti kami di pautan berikut
Back To Top