skip to Main Content

Misi Memperkasakan Institusi Raja-Raja Melayu

Misi Memperkasakan Institusi Raja-Raja Melayu

Institusi Raja-Raja Melayu telah diakui memainkan peranan penting dalam setiap landskap politik dan sejarah di persekutuan Tanah Melayu yang kemudian kepada pembentukan Malaysia. Memandang keperluan suatu sistem semak imbang, Raja-Raja Melayu telah mendelegat(mengagihkan) sebahagian kuasa di takhta mereka kepada pentadbiran Persekutuan walaupun mereka sebenarnya ‘owner’ kepada tanah dan jajahan takluk mereka. Jasa para Baginda sebagai punca kuasa kepada persekutuan sepatutnya dikenang sebagai pengorbanan yang sangat agung. Kita wajar memanjatkan kesyukuran kerana kita masih mempunyai Raja Institusi Raja sebagai payung agama dan bangsa sementara ada negara terus porak peronda setelah kehilangan takhta Sultan dan Raja akibat perang.

Imam Al Ghazali dalam kitab Ihya Ulumiddin memberi gambaran kepentingan antara keduanya dalam pembinaan sesebuah Negara.

والملك والدين توأمان فالدين أصل والسلطان حارس، وما لا أصل له فمهدوم
وما لا حارس له فضائع
“Kuasa dan Agama adalah kembar, agama adalah asas (tujuan) dan kuasa adalah penjaga, sesuatu yang tiada asas akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga akan rosak”.
Perkataan Imam Al Ghazali adalah sangat benar. Kuasa dan agama tiada boleh berpisah.

Kita telah menyaksikan banyak peristiwa dalam sejarah bagaimana agama tidak dapat ditegakkan setelah kuasa jatuh ditangan mereka yang tidak layak. Mereka akhirnya menggunakan kuasa membawa agenda pemisahan agama dari pentadbiran dan kehidupan atas nama keterbukaan dan sekularisme.

Sehubungan dengan itu, Raja-Raja melayu khususnya Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong yang merupakan punca kuasa dan ketua negara wajib dipertahankan dan diperkasakan untuk imbangi keadaan politik dan ahli nya dari tersasar. Usaha pemerkasaan ini mesti lah didokong oleh para ulama’, ilmuan dan golongan bijak pandai.

Hal ini seperti yang pernah dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Titah Baginda:
“Beta yakin, apabila muafakat dan jalinan ukhuwwah antara Ulama dan Umarak terlaksana dengan baik, maka baiklah juga jalinan ukhuwwah serta pemuafakatan dalam kalangan rakyat jelata seluruhnya “- Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaaan 1438H di Taman Ekspo Agropertanian Malaysia, Serdang.

Selain itu peranan yang di dokong oleh para ulama, ilmuan dan bijak pandai dalam misi pemerkasaan Institusi Raja-Raja Melayu, kesetiaan dan ketaat rakyat jelata kepada Raja Pemerintah adalah kekuatan pokok yang mesti dituai dalam menjayakan misi keramat ini. Rakyat wajib bangun dari lena bahawa kesetiaan sebenar kita kepada Raja seperti tercatat erat dalam rukun negara bukan lagi taksub kepada orang politik yang bersilih ganti.

Kami suka berkongsi Titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Musfata Billah Shah ketika istiadat pemasyhuran Baginda sebagai Sultan Pahang keenam, titah Baginda,

“Sesungguhnya, kekuatan sebuah negeri adalah kerana Raja pemerintah, manakala kekuatan Raja pemerintah terletak kepada kerajaan dan rakyatnya. Kerana itu pepatah Melayu lama ada berpesan, “kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanahnya”’- Balairung Seri Istana Abu Bakar pada 15 Jan 2019.

Di atas asas tersebut, kami dari kalangan para Ulama dari pelbagai golongan dan pertubuhan, didukungi bersama para pemimpin, ahli-ahli professional, pertubuhan-pertubuhan Islam, penggerak-penggerak masyarakat dan generasi muda mewujudkan Muwasolah Memperkasakan Kedaulatan Institusi Raja-Raja (MAMPIR) .

MAMPIR bukannya sebuah badan organisasi atau pertubuhan. MAMPIR adalah sebuah persinggahan atau platform silaturrahim, dialog, forum dan pemuafakatan serta kerjasama menjayakan MISI PEMERKASAAN INSTITUSI RAJA-RAJA MELAYU di atas prinsip Perlembagaan Perseketuan dan ruh rukun negara. MAMPIR bersifat bebas dan tiada terikat dengan mana- mana pihak.
Semoga misi ini dapat dijayakan bersama hendaknya.

Ulama’, Raja dan Rakyat berpisah tiada.

Urusetia MAMPIR

Ikuti kami di pautan berikut
Back To Top