skip to Main Content

Bagaimana Peranan Sultan Sebagai Ketua Agama Islam?

Bagaimana Peranan Sultan Sebagai Ketua Agama Islam?

Adalah maklum pada pengetahuan kita bahawa Sultan merupakan ketua Agama Islam di negeri masing-masing sementara Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong menjadi ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Apakah peruntukan peranan Baginda dalam Hal Ehwal Ugama Negeri ?

Biar kita ambil contoh dari Undang-Undang Tubuh Negeri Pahang Fasal perkara 24 (1) bahawa Ketua Ugama Negeri hendaklah Raja Pemerintah dan Raja Pemerintah dari satu masa ke satu masa, boleh lah mengeluarkan perintah supaya diadakan lagi apa-apa undang-undang sebagaimana yang patut pada timbangan Baginda bagi maksud mengatur hal ehwal agama dan bagi menubuhkan sebuah Majlis Ugama Islam dan adat resam melayu bagi menolong dan menasihati Raja Pemerintah dalam semua perkara mengenai Agama Negeri dan Adat Resam Melayu.

Pada hari ini, setiap negeri termasuk Wilayah Persekutuan mempunyai Majlis Agama Islam masing-masing dan enakmen-enakmen tertentu bertujuan menjadi pihak yang mempunyai kuasa utama dalam hal ehwal agama Islam dan berfungsi untuk membantu dan menasihati Sultan dalam semua perkara yang berhubung dengan agama Islam di dalam negeri masing-masing.

Setiap Sultan negeri dihormati kuasa mereka apabila Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada para Duli – Duli untuk mentadbir hal ehwal agama Islam. Pembahagian kuasa di antara kerajaan-kerajaan negeri dan Persekutuan ini adalah selaras dengan kuasa dan kedaulatan Sultan di negeri masing-masing yang melafaz sumpah menjaga agama Islam tatkala ditabal menjadi Sultan. Dalam konteks kedudukan Islam Perkara 3 menjadi peruntukan dasar tentang Islam sebagai urusan autonomi negeri dan seterusnya meletakkan Islam dalam urusan negeri-negeri.Lantaran itu, Raja-Raja diisytihar sebagai ketua agama bagi negeri-negeri, manakala Yang di-Pertuan Agong pula dijadikan Ketua Agama bagi negeri baginda sendiri dan bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai raja.

Bagi mengukuhkan pentadbiran agama dan syariah, beberapa institusi ditubuhkan untuk menjalankan tugas berkaitan hal ehwal agama Islam. Seperti di Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dibantu oleh JAIS yang merupakan agensi pelaksana segala dasar yang diputuskan oleh MAIS dan berperanan menegakkan syiar Islam serta menjaga hal ehwal umat Islam di Negeri Selangor seperti nikah cerai, dakwah, pendidikan Islam, pengurusan masjid, penguatkuasaan, penyelidikan dan sebagainya. Di Selangor, MAIS juga berkuasa untuk mentadbir dan berhak kepada semua wang dan harta Baitulmal.

Selain itu, Sultan setiap negeri mempunyai Mufti dan jawatankuasa fatwa masing-masing. Jika di Selangor dinyatakan dengan jelas, bahawa Mufti hendaklah membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Negeri Selangor selepas Duli Yang Maha Mulia Sultan, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini.

Fatwa di negeri adalah perlambangan kuasa Sultan negeri kerana apabila fatwa disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang berada di Negeri Selangor sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi Agama Islam untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu, melainkan jika dia dibenarkan oleh Hukum Syara’ untuk tidak mengikut fatwa itu dalam perkara-perkara amalan peribadi.

Berbanding dengan Muzakarah Fatwa Kebangsaan (kini hanya Muzakarah Kebangsaan Islam) yang tidak bersikap mengikat dan tidak wajib dipatuhi. Penjenamaan Muzakarah Kebangsaan Islam (MKI) kini atas prinsip menghormati bidang kuasa fatwa di setiap negeri bukan Persekutuan. Pengasingan kuasa ini telah dihormati sewajarnya dengan penamaan terbaru tersebut. Sebagai contoh, kebenaran pengimarahan Masjid, aktiviti agama, bilangan jemaah solat Jumaat yang dibenarkan sejak PKP awal ketika era wabak C-19 dan terbaru di PKPB. Terdapat perbezaan antara satu negeri dan satu negeri. Rakyat kian matang melihat perbezaan fiqh yang diambil.

Sebagai kesimpulan, kedudukan Sultan sebagai Ketua Agama negeri mempunyai sejarah dan trasidi yang panjang dan terus kekal terpelihara walaupun selepas mencapai kemerdekaan. Adalah Sultan memikul amanah Al Malik dan tugas khalifah dalam memelihara dan menjaga agama Islam. Jika dipandang secara tersirat, kewujudan majlis, agensi, jabatan dan skruktur pentadbiran dibawah kuasa Duli Yang Maha Mulia, banyak perkara boleh dijayakan. Insya – Allah dengan muafakat para alim ulama.

Ustaz Angah Sunan
Setiausaha Kerja Nahdhatul Ulama’ Malaysia (NA’AM)

𝐌𝐀𝐌𝐏𝐈𝐑

#Mampir1511
#UlamaRajaRakyatberpisahtiada.
#KesetiaankepadaRajaNegara

Ikuti kami di pautan berikut
Back To Top