skip to Main Content

Mohon UMANY Hayati Kesopanan Dan Kesusilaan!

Mohon UMANY Hayati Kesopanan Dan Kesusilaan!

1. Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam (KEMUDI) ingin memberikan komen terhadap kenyataan terbaru yang dikeluarkan oleh University of Malaya Association of New Youth (UMANY) pada laman Facebook mereka bertarikh 5 November 2020 semalam dibawah tajuk KEMASKINI TENTANG SOAL-SIASAT POLIS yang membuat siasatan terhadap kenyataan UMANY pada 31 Oktober 2020 mengenai kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam urusan politik negara.

2. Walaupun UMANY mempunyai obligasi untuk menyuarakan pendapat berkenaan perkembangan politik semasa, namun dalam tanggungjawab sebagai sebuah badan aktivis mahasiswa, mereka perlu akur bahawa kenyataan yang dibuat perlu mencerminkan prinsip Kedaulatan Undang-undang dan Rukun Negara yang sebenar.

3. Tindak-tanduk UMANY dalam kenyataan-kenyataannya pada 31 Oktober dan 5 November semalam jelas merujuk kegagalan dalam memahami dan mematuhi hal-hal tersebut. Kenyataan UMANY memperlihatkan kekeliruan dalam memahami sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran Malaysia.

4.Kami sarankan UMANY mengambil nasihat pakar perlembagaan untuk membantu memahamkan setiap peruntukan Perlembagaan yang berkaitan dengan kedaulatan, keutamaan, kebesaran, kedudukan, prerogatif, kuatkuasa sebenar YDP Agong dan Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan. Dengan memahami peruntukan-peruntukan Perlembagaan terhadap prerogatif dan bidang kuasa YDP Agong dan Majlis Raja-Raja, akan mampu memberikan pencerahan sebenar terhadap sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara kita yang tercinta.

5. Kami juga ingin mengingatkan UMANY untuk membuat kerja rumah terhadap sejarah pahit peristiwa 13 Mei 1969 yang membawa kepada pengisytiharan darurat dan pembentukan ‘ideologi Negara’ berasaskan prinsip Rukun Negara, sekaligus melibatkan beberapa pindaan Perlembagaan terkait empat perkara sensitif yang tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak sekalipun, kecuali dengan bersyarat. Salah satu daripada empat perkara tersebut adalah berkaitan dengan Kedudukan Raja-Raja Melayu

6. Sebagai mahasiswa di Universiti Malaya yang merupakan sebuah pusat pengajian tinggi berprestij Negara, ahli-ahli UMANY yang terlibat dengan isu ini perlu mempamirkan akhlak KESOPANAN DAN KESUSILAAN, khususnya terhadap pihak Universiti yang bertanggungjawab dalam memberikan pendidikan akademik di peringkat tertinggi Negara. Sebarang perbincangan perlu dibuat berdasarkan merit akademik dan undang-undang, tanpa perlu membuat tuduhan serta provokasi-provokasi liar dan tidak berasas kepada pihak Universiti. UMANY juga perlu menghormati pihak Universiti Malaya yang ingin melaksanakan proses keadilan mengikut lunas-lunas perundangan negara ini.

7. Akhir sekali, kami ingin memberi saranan kepada pihak UMANY untuk menghayati kembali prinsip Rukun Negara, agar mendapat kefahaman yang jelas tentang mesejnya untuk membentuk jati diri seorang warga negara Malaysia yang baik, aman, cintakan Negara dan membantu memupuk perpaduan kaum.

Sekian.

Suzana Othman
Pengerusi
Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam (KEMUDI)

Ikuti kami di pautan berikut
Back To Top