skip to Main Content

Sumpah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong : Pentafsiran Undang-Undang

Sumpah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong : Pentafsiran Undang-Undang
Pendahuluan
a. Salah satu segmen penting di dalam pertabalan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong (“YDPA”) adalah upacara melafazkan sumpah jawatan YDPA.
Sumber Perundangan
b. Keperluan YDPA mengangkat sumpah tersebut dimaktubkan dengan jelas di bawah Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan:
“(1) The Yang di-Pertuan Agong shall before exercising his functions take and subscribe before the Conference of Rulers and in the presence of the Chief Justice of the Federal Court (or in his absence the next senior judge of the Federal Court available) the oath of office set out in Part I of the Fourth Schedule; and the oath shall be attested by two persons appointed for the purpose by the Conference of Rulers”
c. Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang utama negara ini seperti diperuntukkan di bawah Perkara 4(1), Perlembagaan Persekutuan:
“(1) This Constitution is the supreme law of the Federation…”
Bentuk Sumpah
d. Sumpah YDPA tersebut mestilah dalam bentuk yang diperuntukkan di dalam Bahagian III, Jadual Ke-4, Perlembagaan Persekutuan. Ini dinyatakan oleh Perkara 4(3), Perlembagaan Persekutuan:
“(3) The said oaths, translated into English, are set out in Part III of the Fourth Schedule.”
e. Lafaz Sumpah tersebut, dalam Bahasa Kebangsaan adalah seperti berikut:
“Kami …………………………………………………. ibni ………………………………………. Yang Di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan: wallahi wabillahi watallahi; maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyurkan dan akan disah dan dimasyurkan di masa hadapan ini. dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa agama islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri. “
Erti & Makna Lafaz Sumpah YDPA
f. Apakah erti dan makna Sumpah YDPA?
(i) Memelihara Agama Islam
g. Antara isi Sumpah YDPA adalah:
“…memeliharakan pada setiap masa Agama Islam…”.
h. Adalah jelas daripada lafaz tersebut, YDPA mempunyai tugas untuk memelihara kedudukan Agama Islam di negara ini.
i. Termasuklah di dalam memelihara Agama Islam di dalam negara ini adalah otoriti untuk melaksanakan Undang-undang Islam ke atas orang-orang Islam, setakat mana tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
j. Ini dinyatakan di dalam kes Lina Joy v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Anor [2004] 6 CLJ 242:
“…the position of Islam in art. 3(1) is that Islam is the main and dominant religion in the Federation. Being the main and dominant religion, the Federation has a duty to protect, defend and promote the religion of Islam. This proposition is reinforced by the Fourth Schedule where it states that in his oath of office, The Yang Di Pertuan Agong among other things solemnly and truly declares that he shall at all time protect the religion of Islam and to hold the rule of law and order of the country. As such the country could impose syariah laws on Muslim which are not inconsistent with the Constitution…”
k. Adalah pandangan saya bahawa otoriti YDPA bukan hanya sekadar melibatkan perlaksanaan perundangan Islam di negara ini. Daripada lafaz kalimah Sumpah tersebut, boleh dihujahkan bahawa institusi YDPA mempunyai otoriti untuk mengambil apa jua keputusan dan langkah untuk memelihara Agama Islam di Negara ini dengan syarat tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak bercanggah dengan apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan di Negeri-negeri. Ini adalah sejajar dengan kalimat lain di dalam Sumpah YDPA tersebut iaitu:
“…menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyurkan dan akan disah dan dimasyurkan…”
(ii) Memerintah Negara Mengikut
Perlembagaan dan Undang-undang
l. Kalimat “pemerintahan bagi Malaysia” oleh YDPA di dalam lafaz Sumpah tersebut bukanlah dalam konsep Monarki Mutlak (“Absolute Monarchy”) yang mempunyai kuasa yang tidak terhad dan bebas untuk berbuat apa sahaja.
m. Sebaliknya, kalimat “pemerintahan bagi Malaysia” tersebut adalah berpaksikan konsep Raja Berperlembagaan (“Constitutional Monarch”) – iaitu YDPA adalah tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang Negara seperti lafaz Sumpah YDPA yang dipetik di dalam perenggan k. di atas.
n. Di dalam kes Kok Wah Kuan v. Pengarah Penjara Kajang [2004] 8 CLJ 324, Mahkamah Tinggi telah mengikut pandangan Tun Suffian (bekas Ketua Hakim Negara) dengan menyatakan seperti berikut:
“Tun Suffian, supra, has described the Yang di-Pertuan Agong as a constitutional monarch…”
o. Kedudukan yang sama kemudiannya diulangi di dalam kes yang sama:
“…The Yang di-Pertuan Agong as a constitutional monarchy retains a unique position in the constitutional history and development of the Federal Constitution in whichever constitutional function that he may be exercising…
p. Ini juga dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Balakrishnan v. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia And The Government Of Malaysia [1981] 1 LNS 64:
“…The Yang di-Pertuan Agong is a constitutional monarch…”
q. Dalam sistem perundangan negara kita, Mahkamah adalah pihak yang mempunyai otoriti untuk mentafsirkan isu-isu Perlembagaan (termasuklah juga mengenai YDPA) dan adalah merupakan pemelihara hak-hak di bawah Perlembagaan. Lihat keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes Badan Peguam Malaysia v. Kerajaan Malaysia [2008] 1 CLJ 521 yang menyatakan:
“[86] In Dr. Mohd. Nasir Hashim v. Menteri Dalam Negeri Malaysia [2007] 1 CLJ 19, the Court of Appeal referred to the relevant authorities on constitutional interpretation. Gopal Sri Ram JCA expressed as follows:
….
It should never be forgotten that courts are the guardians of constitutional rights. A vitally important function of court is to interpret constitutional provisions…”
r. Oleh itu, pandangan yang menolak wujudnya konsep Raja Berperlembagaan (“Constitutional Monarch”) di negara ini – adalah tidak berasas dan adalah satu salahtanggapan mengenai kedudukan sebenar YDPA di sisi undang-undang negara. Adalah terang lagi nyata bahawa YDPA adalah Raja Berperlembagaan (“Constitutional Monarch”) berdasarkan nas-nas yang dipetik di atas.
s. Skop sebenar kuasa-kuasa YDPA di dalam pemerintahan negara akan dibincangkan di dalam kesempatan yang lain, insyaAllah, jika ada ruang waktu yang membenarkan – kerana ianya merupakan satu perbincangan yang panjang.
(iii) Pemerintahan Yang Aman
t. Juga termasuk lafaz Sumpah YDPA adalah:
“…berdiri tetap di atas pemerintahan… aman di dalam negeri…”
u. Ini adalah selaras dengan kuasa prerogatif Raja-raja Melayu untuk memastikan wujudnya keamanan di negara ini. Mahkamah Rayuan di dalam kes Dato’ Dr Zambry Abd Kadir V. Dato’ Seri Ir Hj Mohammad Nizar Jamaluddin; Attorney General Of Malaysia (Intervener) [2009] 5 CLJ 265:
“226] One of the most critical executive powers of the ruler is his constitutional duty to maintain peace and order for the public good.”
v. Jika pihak Eksekutif, Legislatif, Judisiari dan jentera-jentera Kerajaan gagal memastikan keamanan dan ketenteraman negara, YDPA dan Raja-raja Melayu berkewajipan untuk melaksanakan “rule of law” di dalam negara. Bagi tujuan ini, YDPA telah dijadikan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia yang boleh bertindak tanpa kekangan pihak Eksekutif bagi memastikan undang-undang negara dipatuhi (untuk mengembalikan keamanan negara).
w. Ini dibincangkan dengan jelas oleh Mahkamah Rayuan di dalam kes Nik Nazmi Nik Ahmad v. PP [2014] 4 CLJ 944:
“(iii) When the three pillars are disabled and/or disable themselves from acting according to the sacrosanct oath of office and rule the country by rule of law within the framework of the constitutional guarantees by using the state machinery such as ‘police’ and other constitutional functionaries such as the Election Commission, the Attorney General, etc. to provide order in the country, then the fourth Pillar and/or the Supreme Pillar of the Constitution, His Majesty, the Yang Di Pertuan Agong, inclusive of the Royal Highnesses, the Rulers are entrusted to uphold the rules of law and order in the country. And for this purpose His Majesty is made the Supreme Commander of the Armed Forces with no executive shackles with the force and might of the state at the Royal Hands to check lawlessness in the state (if any)…”
Kesimpulan
x. YDPA dan Perlembagaan Persekutuan tidak dapat dipisahkan – selaku Raja Berperlembagaan (“Constitutional Monarch”). YDPA adalah tulang belakang Perlembagaan Persekutuan, seperti yang dinyatakan di dalam kes Nik Nazmi (supra):
“…the Supreme Pillar of the Constitution, His Majesty, the Yang Di Pertuan Agong…”
y. Sumpah YDPA tersebut, yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, adalah manifestasi ketinggian kedudukan dan kekuasan YDPA di dalam pemerintahan Negara, yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
z. Moga kedudukan YDPA dan Raja-raja Melayu di tanahair kita terus terpelihara dan dapat diperkasakan, demi untuk kesejahteraan masyarakat dan negara, Aamin.
Daulat Tuanku.
Daulat Tuanku.
Daulat Tuanku.
Sumber:
Arham Rahimy Hariri
Pengamal Undang-undang Perlembagaan
Ikuti kami di pautan berikut
Back To Top