RAJA MELAYU MEMEGANG AMANAH KEDAULATAN MILIK ALLAH
Kedaulatan negara secara umumnya ditakrifkan sebagai kuasa agung sesebuah negara, bersifat mutlak dan bebas untuk menentukan konsep, prinsip serta bentuk pemerintahan dan undang-undang yang tertinggi dalam negara tersebut. Bentuk pemerintahan serta undang-undang tertinggi negara inilah yang menentukan prinsip-prinsip serta kerangka perlembagaan yang digunakan oleh negara tersebut. Kedaulatan itu samada dimiliki oleh seseorang individu, beberapa individu atau keseluruhan rakyat.
Namun dalam ajaran agama Islam, kedaulatan mutlak adalah hakikatnya milik mutlak Allah s.w.t, yang Maha Berkuasa untuk mengurus dan mentadbir alam dan makhluk, kerana segala-galanya dicipta olehNya dan menuntut ketaatan kepadaNya, maka kuasa pemerintahan atas segala sesuatu adalah juga milik Allah s.w.t yang mutlak.
Hak penentuan pemerintahan manusia serta hukum-hakam secara mutlak inilah yang mencerminkan hak ketuhanan Allah sebagai Pencipta sekalian alam dan makhluk, dan ini yang disebut sebagai Kedaulatan Allah untuk menetapkan bentuk pemerintahan dan undang-undang bagi manusia yang melata sebagai khalifahNya di bumi ini.
Bermakna sesiapa yang mendakwa berhak untuk memerintah secara mutlak, menentukan hukum-hakam, undang-undang dan peraturan-peraturan secara bebas lepas, sesungguhnya telah merampas hak ketuhanan daripada Allah, tidak kiralah samada yang mendakwa itu individu, sekelompok manusia, suatu pertubuhan, suatu umat hatta kesatuan umat manusia keseluruhannya.
Ringkasnya, kedaulatan yang bersumber ajaran Islam menetapkannya sebagai milik mutlak Allah s.w.t, sementara ketua negara atau pemerintah itu berkedudukan sebagai wakil Allah di muka bumi, sebagai khalifahNya, mengganti Rasulullah saw dalam urusan agama, pmerintahan dan dunia dengan cara yang ditunjuk oleh sunnah baginda Rasulullah s.a.w.
Bermakna, walaupun pada konsep moden kedaulatan itu secara zahir terletak pada pemerintah, pemilikan kedaulatan tersebut adalah hakikatnya suatu amanah, iaitu pematuhan kepada syariat Islam. Hakikatnya tidak ada konsep pemerintah atau Raja Islam yang memerintah secara mutlak, kerana ianya adalah suatu bentuk amanah yang akan dipersoalkan di Mahkamah Agong Allah s.w.t nanti!Mana-mana pemerintah Islam yang mengamalkan sistem pemerintahan mutlak, bermakna dia telah mencabar hak ketuhanan Allah !!
Perlembagaan Persekutuan mencerminkan perkara amanah pemerintahan ini secara jelas. Perkara 37 Bahagian 1 jelas tertera Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong atas lafaz “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” merupakan suatu ikrar bersumpah atas nama Allah, bukan sahaja merujuk kepada negara Malaysia sebagai negara yang berpaksi, berpasak dan menjunjung Allah dan RasulNya (Perkara 3(1)), sekaligus meletakkan kedaulatan Raja-raja Melayu atas nama Allah yang Maha Esa lagi Maha Agong.
Kemudian, dalam payungan ikrar tersebut juga, sumpah jawatan yang di-Pertuan Agong juga meletakkan ikrar untuk “memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri”.
Hakikatnya, unsur pengamanahan untuk menjunjung Syariat Islam bukanlah suatu yang baharu bagi negara bertuah ini, ianya telah menjadi prinsip dan corak pemerintahan kesultanan-kesultanan Melayu semenjak beratus-ratus tahun dahulu, berteraskan konsep ‘zilullahi fil ardh’ (wakil Allah di mukabumi) dan sistem syura, ditinta secara rasmi dalam hukum kanun negeri-negeri, bermula seawal zaman kesultanan Melaka, menjadi bukti pemakaian undang-undang syariat dan adat bersendi kitabullah.
Sebagai contoh, Hukum Kanun Pahang di bawah perintah Sultan Abdul Ghaffur Mahyuddin Shah (1592-1614) mencatatkan:
” Bahawa dijadikanNya kiranya aku daripada umat kekasihNya, dan umat penghulu segala rasulNya, yang dititahnya ia membawa segala firmanNya dan menghukumkannya segala syariat Nabi yang terdahulu itu dengan berbuat adil serta melakukan amar bil makruf wa nahiya mungkar …”
Perlembagaan Persekutuan terus menjamin kelangsungan peranan warisan Raja-raja Melayu ini dalam Perkara 181 (1), dan Perkara 3 (1).
Moga Raja-raja Melayu terus aktif mengambil peranan menghidupkan amanah Allah ini sebagaimana leluhur baginda sekelian di Tanah Melayu yang bertuah ini, amiin ya Robbal ‘alamiin.
Sumber : Datuk Prof Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain (Pengasas Jurispruden Watan)
Olahan : TunSuzana @ Suzana Hj Othman