skip to Main Content

Proklamasi darurat Batu Sapi cegah pandemik COVID-19

Proklamasi Darurat Batu Sapi Cegah Pandemik COVID-19

Oleh Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain

Sumber : BH Online

Selaras kuasa diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 150, Yang di-Pertuan Agong semalam membuat proklamasi darurat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan.

Proklamasi dibuat selepas mempertimbang permintaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta menerima sembah taklimat oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh.

Berdasarkan kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, lanjutan daripada itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memasyhurkan ordinan di bawah Perkara 150(2B) untuk membatalkan proses pilihan raya di Parlimen Batu Sapi di Sabah, serta menangguhkannya ke suatu tarikh lain kelak.

Kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara menunjukkan Seri Paduka berpuas hati bahawa wujud ancaman besar sekiranya pilihan raya kecil (PRK) diteruskan di Parlimen Batu Sapi.

Semalam 660 kes baharu COVID-19 dicatatkan di seluruh negara, dengan 387 direkodkan di Sabah sahaja. Pertambahan kes baharu harian itu menjadikan kumulatif 50,390 kes positif COVID-19 sehingga semalam.

Justeru, tidak hairanlah jika Yang di-Pertuan Agong memutuskan untuk memberi perkenan membuat proklamasi darurat seperti diminta Perdana Menteri.

Di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai prerogatif untuk mengeluarkan proklamasi darurat jika baginda ‘berpuas hati’ dengan satu daripada dua keadaan berikut.

Pertama, sedang berlaku darurat besar atau hampir berlaku darurat besar yang boleh mengakibatkan implikasi ancaman keselamatan, manakala yang kedua berlakunya ancaman kehidupan, ekonomi, ketenteraman awam di dalam Persekutuan, atau mana-mana bahagiannya.

Memandangkan pilihan raya kali ini hanya membabitkan satu kawasan parlimen – berbeza dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini – maka baginda hanya memperkenankan proklamasi darurat itu bagi parlimen berkenaan.

Pengalaman selepas PRN Sabah amat membimbangkan apabila merekodkan peningkatan mendadak sebanyak 148.4 peratus kes hanya selepas dua minggu daripada tarikh pembuangan undi.

Keputusan Yang di-Pertuan Agong pastinya melegakan banyak pihak yang semestinya ‘perlu’ terbabit dengan PRK Batu Sapi, sekiranya proses itu diteruskan.

Ini kerana suatu pilihan raya bukan sahaja membabitkan jumlah pengundi, bahkan jentera besar meliputi petugas SPR, pekerja parti yang bertanding di lapangan termasuklah pemimpin parti yang akan berkempen buat calon masing-masing.

Satu perkara yang mungkin menjadi pengalaman baharu bagi rakyat Malaysia, proklamasi darurat buat pertama kali dibuat bukan untuk menghadapi suasana tegang seperti ancaman komunis atau rusuhan kaum.

Proklamasi darurat kali ini bersifat pencegahan untuk mengelak berlaku ancaman besar kepada kesihatan rakyat.

Bayangkan jika PRK diadakan di Batu Sapi, seramai 32,962 orang pengundi berdaftar. Jika kesan PRN Sabah membina sejumlah kluster hinggakan mencatatkan angka seperti dilaporkan, adalah tidak wajar risiko diambil untuk meneruskan PRK Parlimen Batu Sapi.

Rakyat pastinya tidak perlu panik kerana sebab diisytiharkan darurat kali ini ialah bersifat suatu pencegahan terhadap ancaman penularan wabak COVID-19.

Proklamasi darurat meskipun hanya terhad dalam kawasan parlimen berkenaan, pastinya membuka satu perspektif baharu buat rakyat Malaysia tentang darurat.

Darurat tidak semestinya dilihat kerana berlakunya keadaan panik yang menghuru-harakan negara atau mana-mana bahagian di dalamnya.

Darurat perlu dilihat dalam kerangka lebih besar sebagai satu mekanisme yang dibenarkan oleh undang-undang negara untuk mengelakkan risiko yang memberi ancaman besar terhadap keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman dalam negeri.

Tiada sesiapa boleh menafikan jika wabak COVID-19 tidak dikawal dengan ketat, maka kehidupan ekonomi rakyat bakal terjejas teruk. Malah, kita kini sudah berada di peringkat awal fasa itu atau mungkin lebih daripada itu.

Malaysia pernah mempunyai pengalaman di Sarawak dan Kelantan apabila darurat diisytiharkan akibat keadaan politik di kedua-dua negeri berkenaan.

Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang dan apa yang berlaku di Sabah bukanlah bertujuan untuk mengambil alih pucuk kepemimpinan dalam negeri.

Pengalaman baharu di Sabah mungkin akan memberi iktibar jika darurat diisytiharkan di mana-mana bahagian di Semenanjung Tanah Melayu, khususnya di Parlimen Gerik di Perak atau Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah yang masing-masing baru kehilangan wakil rakyatnya.

Bahkan darurat juga mungkin akan dilihat secara lebih terbuka untuk menguruskan keadaan yang berlaku hari ini apabila Belanjawan 2021 masih dalam peringkat perbahasan.

Belanjawan 2021 dilihat setengah penganalisis politik menghadapi cabaran besar yang berkemungkinan melalui jalan sukar untuk mendapat kelulusan anggota Dewan Rakyat.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan membangkitkan kerisauan beliau jika Belanjawan 2021 gagal mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Perdana Menteri juga dilihat cuba bertolak ansur dengan tuntutan anggota Dewan Rakyat supaya Belanjawan 2021 dapat diluluskan dengan jayanya tanpa dijadikan medan ujian demi agenda politik kepartian.

Sejauh mana perubahan sikaprakyat Malaysia terhadap darurat sebagai satu mekanisme untuk menguruskan isu semasa mungkin boleh dilihat selepas ini.

Pada masa sama, risiko dari sudut pelaburan pihak luar mungkin tidak berapa berbangkit kerana dunia luar juga sedang menghadapi risiko yang sama akibat penularan wabak COVID-19.

Pesanan Yang di-Pertuan Agong supaya anggota Dewan Rakyat berusaha untuk mencapai sepakat bagi kelulusan Belanjawan 2021 tidak wajar dipandang ringan.

Seri Paduka pastinya mempunyai alasan kukuh untuk bertitah sedemikian. Ketika ini, kebijaksanaan barisan anggota Dewan Rakyat sedang diperhatikan rakyat.

Sama ada mereka boleh mengutamakan kepentingan pengundi lantaran itu berlapang dada untuk membolehkan Belanjawan 2021 diluluskan, atau meneruskan agenda tersirat masing-masing.

Yang pasti, mereka boleh memilih satu antara dua pilihan itu.

Penulis adalah Pakar Perlembagaan Universiti Malaysia Pahang (UMP)

Ikuti kami di pautan berikut
Back To Top