skip to Main Content

Wasiat Sultan Mansur Shah (Melaka)

Wasiat Sultan Mansur Shah (Melaka)

“Hai anakku, ketahui olehmu, bahawa dunia ini sekali-kali tiada kekal adanya. Yang hidup itu sedia akan mati juga sudahnya; iman yang sempurna dan pekerti yang baik, itulah yang kekal disebut orang selama-lamanya. Adapun peninggalan ayahnda ini, hai anakku, hendaklah engkau berbuat adil sangat-sangat, dan jangan engkau mengambil hak orang tiada sebenarnya. Maka haqqu’l-adam terlalu besar dosanya, tiada diampuni Allah s.w.t, melainkan dengan izin dan yang empunya hak juga; jangan sekali-kali engkau keluar dihadap orang, kerana hamba Allah sekeliannya banyak berserah kepadamu; jikalau kesukaran baginya, hendaklah segala yang kesakitan itu segera engkau tolong; jikalau teraniaya ia, hendaklah engkau periksa ia baik-baik, supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasmu, kerana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :” Segala kamu yang menggembala akan ditanyai Allah s.w.t….”.

“ Sebab demikianlah, maka sebaiknya engkau berbuat adil dan saksama supaya di sana jemah diringankan Allah Taala kira-kiramu; dan hendaklah engkau muafakat dengan segala menteri dan orang besar-besarmu, kerana raja itu, jikalau bagaimana sekalipun bijaksana dan tahunya, jikalau tiada muafakat dengan segala pegawai, dimana akan dapat ia melakukan kebijaksanaannya itu? Dan tiada akan sentosa kerajaannya; kerana raja-raja itu umpama api, segala menteri itu umpama kayu, kerana api itu tiada akan nyala jikalau tiada kayu, seperti kata Farsi; ‘Ar’ayatu juan bakhasta sultan khasad’, yakni rakyat itu umpama akar dan raja itu umpama pohon; jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri. Demikianlah raja itu dengan segala rakyatnya. Hai anakku, hendaklah engkau turut seperti amanatku ini; supaya beroleh berkat diberi Allah s.w.t, bija hi Nabi S.A.W.”

Ikuti kami di pautan berikut
Back To Top