skip to Main Content

Maksud Raja Berperlembagaan

Maksud Raja Berperlembagaan

Raja berperlembagaan bukanlah suatu perkara yang baharu dalam sistem politik mana-mana kerajaan di dunia sejak bermulanya sejarah manusia. Hal ini disebabkan istilah perlembagaan itu sendiri berkait rapat dengan kewujudan raja dan kerajaan, atau dipopularkan sebagai sebuah negara pada hari ini. Kerajaan atau negara, kedua-duanya adalah menyentuh sistem politik yang didukung oleh sistem undang-undangnya. Sistem politik sama ada berbentuk monarki, khilafah, republik atau autokratik tidak dapat didirikan tanpa adanya sebuah perlembagaan.

Raja berperlembagaan pada hakikatnya berpaksi pada istilah “perlembagaan”. Perbahasan sebenar dari sudut sistem politik ialah sama ada perlembagaannya itu berbentuk bertulis atau tidak, dihimpunkan dalam satu dokumen khusus atau dirujuk dalam pelbagai sumber serta apakah sistem perlembagaan dan prinsip kedaulatan yang dijunjungnya?

Perlembagaan ialah sistem undang-undang, adat dan konvensyen yang menentukan komposisi serta kuasa organ negeri, dan pengawal selia hubungan pelbagai organ dalam pemerintahan sebuah negeri juga antara pihak negeri dengan hak-hak persendirian warganegara (Hood Philip dan jackson, 2001).Perlembagaan juga merupakan keterangan tentang doktrin asas dan peraturan negara yang mendasari tugas dan kuasa kerajaan, begitu juga tugas dan hak manusia (Curzon, 2007).

Ringkasnya, perlembagaan ialah undang-undang tertinggi yang menunjukkan kenegaraan sebuah kerajaan atau pemerintahan, terkandung di dalamnya sistem dan prinsip ketatanegaraan. Sistem dan prinsip ketatanegaraan sesebuah kerajaan mempunyai hubung kait dengan adat tempatan dan konvensyen serta tidak boleh bercanggah dengan prinsip kedaulatannya. Oleh itu, raja berperlembagaan ialah raja memerintah mengikut sistem perlembagaannya. Sistem perlembagaan menjunjung falsafah, doktrin dan prinsip tertentu mengikut ciri-ciri kedaulatan sesebuah kerajaan.

Sumber Petikan:

Datuk Prof Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain
‘Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan’

 

Untuk maklumat lanjut buku ini,klik pada pautan di bawah ini:

Ikuti kami di pautan berikut
Back To Top